Lebih Dari Sekadar Pentas: Apa yang Saya Pelajari Tentang Pertandingan RTK
Catatan jujur daripada pemenang RTK 2022 mengenai bahasa, persembahan, dan cara menjawab yang benar-benar membezakan peserta.
Pengenalan
Apakah Randawi Tavantang Kaamatan?
Randawi Tavantang Kaamatan atau RTK adalah pertandingan budaya tahunan yang berlangsung setiap bulan Mei di Sabah. Ia bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu ruang untuk meraikan dan memperkasakan identiti kaum Momogun, termasuk KDMR dan pelbagai etnik lain di bumi Sabah. Setiap peserta adalah lelaki bawah 30 tahun yang membawa bersama kebanggaan suku dan komuniti masing-masing. Tahun ini, RTK 2026 mengumpulkan 50 perwakilan dari seluruh negara.
Bahagian 1
Penguasaan Bahasa Ibunda: Bukan Lagi Sekadar “Bulih La Kampung-Kampung”
Saya memenangi RTK negeri pada tahun 2022 (Waktu itu RTK masih dikenali sebagai MRK – Mister Kaamatan). Walaupun saya menggunakan dua bahasa berbeza untuk pusingan pertama dan kedua, saya sedar isi jawapan yang bernas pada waktu itu membantu mengekalkan markah saya di pusingan QnA. Pengalaman tersebut mengingatkan saya bahawa markah keseluruhan bukan datang dari satu aspek sahaja. Ia terkumpul daripada pelbagai komponen termasuk persembahan pentas, program, dan banyak lagi.
Itulah sebabnya isi jawapan perlu diberi perhatian yang serius, dan itulah juga yang akan saya kupas lebih lanjut dalam artikel ini.
Apabila saya melihat semula perkembangan pertandingan pada 2024 dan 2025, jelas sekali aras persaingan telah meningkat. Rata-rata peserta kini menjawab sepenuhnya dalam bahasa Dusun, dan kualiti penguasaan bahasa itu sendiri sudah berada pada tahap yang jauh lebih tinggi.
Penguasaan bahasa bukan lagi setakat “bulih la kampung-kampung”, ungkapan orang Sabah yang menggambarkan kebolehan ala kadar. Di pentas pertandingan peringkat negeri, ia perlu jauh lebih dari itu.
Walaupun begitu, ada satu perkara yang perlu saya tegaskan: loghat dan slang tempatan itu tetap penting dan perlu dikekalkan. Ia mencerminkan bahawa seseorang itu bukan sekadar penghafal, tetapi benar-benar seorang penutur asli yang tumbuh besar bersama bahasa itu.
Di pentas pertandingan, cara seseorang bertutur dalam bahasa ibundanya, cara berucap, cara menyebut sesuatu perkataan, sudah cukup untuk penonton dan juri merasai perbezaan antara seseorang yang menghafal dengan seseorang yang memang hidup dalam bahasa itu. Itulah nilai sebenar penguasaan bahasa ibunda di pentas RTK.
Bahagian 2
Persembahan Pentas: Biarkan Pakaian Mendefinisikan Cara Kamu Bergerak
Selain bahasa, satu lagi aspek yang dekat di hati saya adalah persembahan di pentas. Pada RTK 2022, saya berpeluang memenangi anugerah Best Stage Performance dengan mengenakan pakaian Dusun Dagas, pakaian pahlawan tradisional. Apa yang saya lakukan ketika itu adalah sesuatu yang mudah tetapi sering diabaikan: saya membiarkan pakaian itu mendefinisikan cara saya bergerak dan beraksi.
Sehingga hari ini, masih ramai peserta yang tampil dengan aksi seragam, mengangkat tangan dan menghayun dari kiri ke kanan, tanpa mengambil kira konteks pakaian yang mereka kenakan. Pada pandangan saya, ini satu peluang yang terlepas.
Kalau kamu mengenakan pakaian pahlawan, bergeraklah seperti seorang pahlawan. Kalau kamu mengenakan pakaian formal yang anggun, biarkan keanggunan itu terpancar melalui setiap gerak-geri kamu. Kajilah pakaian sebelum naik pentas. Fahami sejarahnya, konteksnya, dan aura yang dibawanya.
Setiap pakaian tradisional menyimpan cerita tersendiri. Dua contoh di bawah menunjukkan bagaimana pemahaman terhadap pakaian boleh menterjemah kepada aksi yang lebih bermakna di pentas.
Kadazan Penampang
Gaung Moludu
Pakaian formal yang sesuai untuk acara perkahwinan, pertabalan pangkat, tarian Sumazau, dan Pesta Kaamatan. Pakaian ini membawa aura keanggunan dan kemuliaan adat.
Apabila seorang peserta memakai pakaian ini dengan penuh penghayatan dan beraksi mengikut semangat pakaian itu, seluruh penceritaan di pentas menjadi lebih utuh dan bertenaga.
Aksi: Anggun, tenang, berwibawaRungus
Ontong Totuo Versi Mongigol
Set pakaian mugah dan sandai yang dipakai semasa perkahwinan menunjukkan bahawa pengantin lelaki bersedia untuk tarian Mongigol. Inilah sebabnya set ini dinamakan Ontong Totuo versi Mongigol.
Penceritaan melalui persembahan boleh diperkaya dengan menyuntik elemen gerakan tarian Mongigol dalam aksi di pentas, menjadikan persembahan lebih autentik dan hidup.
Aksi: Inject gerakan tarian MongigolKajilah pakaian yang kamu gunakan sebelum naik pentas. Fahami sejarahnya, konteksnya, dan aura yang dibawanya. Biarkan ia menjadi panduan kepada persembahan kamu, bukan sekadar kostum yang dipakai.
Bahagian 3
Isi Jawapan: Format, Template, dan Teknik But / Therefore
Sepanjang pengalaman saya sebagai juri dan ketua juri di peringkat daerah, serta sebagai lantikan juri alumni RTK negeri Sabah, satu lagi cabaran utama yang saya perhatikan adalah kualiti isi jawapan peserta.
Masalah yang paling kerap berlaku bukan kerana peserta tidak tahu jawapannya. Masalahnya adalah apabila mereka tidak dapat menyusun fikiran dalam masa yang sangat singkat sebelum mula bertutur, mereka kehilangan format dan mula menjawab secara rawak, tanpa hala tuju yang jelas.
Pernahkah kamu tengok orang menjawab soalan tapi rasa macam dia hanya menghafal sahaja, tanpa jiwa, tanpa aliran? Itulah masalah yang kita mahu selesaikan di sini.
Format Standard Jawapan PentasUcapkan terima kasih kepada pengacara atas soalan yang diberikan. Ringkas sahaja. Ini memberi kamu 2-3 saat untuk menarik nafas dan susun isi dalam kepala.
Definisi atau maksud topik soalan. Diteruskan dengan 1 atau 2 contoh konkrit. Kemudian diikuti pandangan atau pendirian peribadi kamu terhadap isu tersebut.
Tutup dengan call to action kepada pendengar. Ajak mereka untuk bersama mengekalkan adat, bahasa, atau tradisi berkaitan soalan yang diberikan.
Walaupun format ini terbukti berkesan dalam masa yang ditetapkan, biasanya 1 hingga 1.5 minit untuk pusingan pertama, dan 2 minit untuk pusingan kedua, namun tetap ramai juga yang lupa untuk menggunakannya apabila benar-benar berada di bawah tekanan pentas. Format ini sepatutnya mudah diikuti oleh sesiapa sahaja, tetapi tekanan pentas boleh membuatkan fikiran menjadi kosong dalam sekelip mata.
Sekiranya format di atas masih terasa mencabar, ada satu teknik yang boleh membawa jawapan kamu ke tahap yang lebih tinggi.
Teknik: But / Therefore Rule
Penyelesaiannya bukan menghafal lebih banyak fakta. Penyelesaiannya adalah membina template ayat untuk setiap bahagian supaya satu-satunya perkara yang perlu kamu fikirkan di pentas adalah isi. Intro dan penutup sudah tersedia dalam kepala kamu.
Pencipta South Park, Trey Parker dan Matt Stone, terkenal dengan satu Storytelling Tips yang mereka sebut “But / Therefore Rule.” Mereka menggunakannya untuk menyemak sama ada sesebuah skrip mengalir dengan logik atau hanya menyenaraikan kejadian secara rawak.
“If things are happening ‘and then, and then, and then,’ you have a boring story. But if you have ‘therefore’ and ‘but,’ you have cause and effect.”
Trey Parker dan Matt Stone, pencipta South Park
Prinsip yang sama boleh kita pinjam untuk menjawab soalan di pentas RTK. Jawapan yang baik bukan sekadar menyenaraikan fakta satu persatu. Setiap isi perlu terikat kepada yang seterusnya melalui hubungan sebab dan akibat.
Ugou membeli bilis, dan dia pergi kerja, dan dia tertidur. Senarai kejadian. Tiada sebab, tiada akibat, tiada ketegangan.
Ugou membeli bilis, tetapi ia tidak cukup, oleh sebab itu dia terpaksa mencari bilis di kedai lain. Setiap bahagian menyebabkan bahagian seterusnya.
Trend Pusingan Pertama: Kata Kunci
Satu trend yang semakin sebati di pusingan pertama adalah penggunaan kata kunci sebagai asas soalan. Peserta tidak diberikan soalan panjang, sebaliknya hanya diberikan satu atau dua patah perkataan sebagai kata kunci, contohnya KAAMATAN atau Takanon Koubasanan (Makanan Tradisi), dan mereka perlu membina jawapan penuh dalam masa 1 hingga 1.5 minit.
Ini bermakna peserta perlu lebih pantas dalam menterjemah kata kunci kepada isi yang bermakna. Di sinilah teknik But / Therefore menjadi sangat berguna, kerana ia membantu kamu membina jawapan yang mengalir tanpa perlu berfikir terlalu lama tentang struktur.
Contoh jawapan pusingan 1 · 1-1.5 minit
Kata kunci: KAAMATAN
“Terima kasih kepada pengacara atas kata kunci yang diberikan.”
Template tetap. Ringkas. Guna masa ini untuk tentukan satu isi utama yang akan kamu bawa.“Kaamatan bukan sekadar pesta menuai, ia adalah perayaan syukur kaum Momogun atas nikmat bumi yang dikurniakan. Ia menyatukan kita sebagai satu bangsa yang menghargai alam dan tradisi.”
“Tetapi pada hari ini, ramai dalam kalangan generasi muda yang hadir ke pesta Kaamatan hanya untuk hiburan semata-mata, tanpa memahami makna sebenar di sebalik perayaan ini. Oleh sebab itu, jelaslah bahawa tanggungjawab untuk menghidupkan semula semangat Kaamatan yang sebenar terletak di bahu kita, generasi yang berdiri di sini hari ini.”
Satu isi sahaja, cukup dalam dan tajam. Perhatikan “Tetapi… Oleh sebab itu…” yang mengikat keseluruhan jawapan.“Oleh sebab Kaamatan adalah warisan yang hidup, maka kita perlulah merayakannya dengan penuh kesedaran dan penghayatan. Marilah kita bersama-sama menjadi pewaris yang bukan sahaja meraikan, tetapi memahami dan menyebarkan makna Kaamatan yang sebenar kepada generasi akan datang.”
Template penutup: “Oleh sebab [isi], jelaslah [konteks kata kunci]. Marilah kita bersama-sama [tindakan] supaya [harapan].”Contoh jawapan pusingan 1 · 1-1.5 minit
Kata kunci: Takanon Koubasanan (Makanan Tradisi)
“Terima kasih kepada pengacara atas kata kunci yang diberikan.”
“Takanon Koubasanan atau makanan tradisi adalah sebahagian daripada jiwa sesebuah kaum. Sebagai contoh, terdapat makanan seperti Hinava, Bosou, Tuhau, Pinarasakan, Linopot, dan macam-macam lagi. Ia bukan sekadar hidangan, tetapi cerminan cara hidup, nilai, dan hubungan kita dengan alam sekitar. “
“Tetapi hakikatnya, banyak resipi dan cara memasak tradisional kita yang perlahan-lahan dilupakan, tenggelam dalam arus makanan moden dan segera. Oleh sebab itu, jelaslah bahawa kita perlu bertindak sekarang, sebelum ilmu memasak yang hanya wujud dalam ingatan nenek moyang kita ini hilang buat selama-lamanya.”
Kata kunci terus dijadikan definisi, kemudian dibina dengan ketegangan “Tetapi” dan penyelesaian “Oleh sebab itu.”“Oleh sebab makanan tradisi adalah warisan yang tidak boleh dicetak semula, jelaslah tanggungjawab untuk memeliharanya terletak di tangan kita. Marilah kita bersama-sama belajar, memasak, dan berkongsi takanon koubasanan kita, supaya meja makan kita satu hari nanti masih dapat menceritakan kisah leluhur kita.”
Pusingan 1: Kata kunci (1-1.5 minit)
Fokus pada satu isi sahaja. Terjemah kata kunci kepada definisi, bina ketegangan dengan “Tetapi,” selesaikan dengan “Oleh sebab itu.”
Pusingan 2 (2 minit)
Tambah satu isi atau contoh tambahan, dan perkembangkan pandangan peribadi dengan lebih jelas dan berani.
Kata penghubung yang kuat
“Oleh sebab itu,” “Jelaslah bahawa,” “Ini membuktikan bahawa,” “Justeru,” “Dengan erti kata lain.”
Satu-satunya benda yang perlu difikir
Isi dan contoh sahaja. Intro dan penutup sudah ada dalam kepala kamu. Latih template sehingga ia menjadi refleks.
Contoh Jawapan Penuh · Pusingan 2
Contoh soalan pusingan 2 · 2 minit
“Bagaimana kita sebagai generasi muda boleh mengekalkan warisan budaya kita pada zaman kecerdasan buatan (AI) ini?”
“Terima kasih kepada pengacara atas soalan yang sangat relevan pada masa kini.”
Template tetap. Tukar “relevan” kepada perkataan lain mengikut konteks soalan. Guna masa ini untuk susun isi dalam kepala.“Warisan budaya adalah jiwa sesebuah bangsa. Ia merangkumi bahasa ibunda, adat resam, muzik tradisional, dan nilai-nilai yang diwarisi turun-temurun.”
“Pada zaman AI ini, ramai yang bimbang teknologi akan menghakis kepekaan kita terhadap warisan ini. Tetapi saya berpandangan sebaliknya. Teknologi bukan musuh budaya, ia adalah alat. Hari ini kita sudah ada anak-anak muda Sabah yang menggunakan media sosial untuk berkongsi lagu dan tarian tradisional kepada jutaan penonton. Kita lihat contoh seperti Elica Paujin, Dabra Sia, dan ramai lagi artis kelahiran Sabah yang lain. Oleh sebab itu, jelaslah bahawa generasi kita mempunyai peluang yang lebih besar berbanding generasi sebelum kita untuk memperkasakan warisan ini, bukan sekadar memeliharanya.”
Perhatikan “Tetapi… Oleh sebab itu…” yang mencipta ketegangan dan kemudian penyelesaian dalam isi jawapan.“Oleh sebab teknologi ada di tangan kita, jelaslah tanggungjawab untuk mengekalkan warisan budaya kita terletak di bahu generasi kita sendiri. Marilah kita bersama-sama menjadi penjaga dan penyampai warisan ini, supaya anak cucu kita satu hari nanti masih dapat merasai keindahan yang kita warisi hari ini.”
Template penutup: “Oleh sebab [isi jawapan], jelaslah [konteks]. Marilah kita bersama-sama [tindakan] supaya [harapan].”Pertandingan RTK bukan hanya tentang siapa yang paling kacak atau paling petah berkata-kata. Ia tentang siapa yang paling tulen dalam menghidupkan identiti dan warisan yang dibawa ke pentas.
Bahasa yang kukuh, persembahan yang bermakna, dan jawapan yang mengalir dengan logik, itulah kombinasi yang membawa seseorang jauh melampaui sekadar “bulih la kampung-kampung.” Semoga RTK 2026 melahirkan lebih ramai peserta yang tidak hanya bertanding untuk menang, tetapi bertanding untuk meninggalkan sesuatu yang bermakna di pentas budaya Sabah.
Dan bagi kita yang menonton dari luar pentas, artikel ini adalah peringatan bahawa setiap peserta yang berdiri di sana membawa bersama tanggungjawab yang besar, iaitu menjaga sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang.
Ditulis oleh Pemenang RTK 2022 · Juri Peringkat Daerah & Alumni Negeri Sabah
Randawi Tavantang Kaamatan 2026
